Friday, December 28, 2018

Dinamik


Kumpulan ini mula ditubuhkan pada tahun 1986 di Pahang. Waktu itu kumpulan ini dikenali dengan nama Eye’s Killer. Anggota asalnya terdiri daripada Talib (vokal), Norin (gitar), Nan (bass) dan Lie (drum).

Minat yang begitu mendalam dalam bidang muzik telah mendorong mereka menimba pengalaman bermain muzik di majlis-majlis kahwin, ekspo dan di mana saja yang menawarkan mereka bermain muzik. Pada tahun 1988, mereka mencuba nasib dengan menyertai pertandingan Juara Rock Tenggara 88. Beberapa kumpulan rock lain juga turut bertanding. Hasil usaha keras dan kegigihan mereka, Eye’s Killer telah menjadi juara dalam pertandingan itu. Ekoran kejayaan itu,mereka ditawarkan untuk merakamkan album bersama beberapa kumpulan rock lain dalam album yang berjudul War Rock 3. Dalam album tersebut, mereka berpeluang menyelitkan beberapa buah lagu hasil ciptaan sendiri.Kumpulan Spring, Mentari dan Cakrawala turut sama merakamkan lagu dalam War Rock 3. Agak menyedihkan, jualan album itu tidak begitu memuaskan.

Dalam waktu itu, anggota kumpulan ini sering bertukar ganti. Selepas pengunduran penyanyi asalnya Talib, mereka terus bertukar-tukar penyanyi antaranya Shamsul, Sabai dan Mozri. Sehinggalah mereka bertemu dengan Jeff dan Fauzi yang turut serta memantapkan perjalanan seni mereka. Beberapa konsert di bahagian Pantai Timur telah disertai mereka. Antaranya mengiringi artis Sheeda dan beberapa artis lain. Ini membuatkan mereka semakin dikenali ramai. Perkenalan dengan penerbit Afzainizam Ismail akhirnya mendatangkan tuah buat mereka. Betapa bersyukurnya mereka. Itulah impian bagi kebanyakan kumpulan muzik pada masa itu. Mereka mula berhijrah ke Kuala Lumpur dan menukar nama kumpulan mereka kepada nama DINAMIK. Album pertama Dinamik, Revolusi Mental (1991) diterbitkan oleh Afzainizam Ismail di bawah label Pustaka Muzik NSR. Dalam album ini 2 buah lagu dinyanyikan oleh Mozri iaitu Tahyul dan Rindu-rindu manakala lagu-lagu lain pula dinyanyikan oleh penyanyi bersuara lunak iaitu Nai yang berasal dari Sarawak.

Lagu Antara Gadis dari album ini menjadi lagu yang paling hot di tanahair ketika itu sehingga berjaya memasuki pertandingan akhir Juara Lagu 1991. Dalam masa 5 bulan sahaja album ini telah terjual sebanyak 400,000 unit lalu menjadikan Dinamik sebagai kumpulan rock yang amat popular waktu itu. Begitu juga dengan jualan album kedua mereka yang mencatat jualan tertinggi. Mereka dapat jenputan membuat persembahan di Singapore, Thailand dan kepulauan Riau. Ramai yang datang menyaksikan persembahan Dinamik. Pernah juga ditipu oleh pihak penganjur yang tidak membayar duit persembahan. Itu kebiasaan yang terjadi pada artis-artis waktu itu.

Dinamik masih aktif dan menyumbangkan lonjakan kepada industri muzik tempatan dan sehingga kini titipan-titipan mereka masih dihargai dan dinikmati… kepada peminat boleh berhubung terus dengan band ini di FB mereka Dinamik offical...

Nan Dinamik
Jeff Dinamik
Karl Dinamik
Lee Dinamik
Zul Dinamik ZM

Kredit: Brader Rock Kapak @ Facebook