Wednesday, April 30, 2014

Isma Halil Hamzah


Isma Halil Hamzah yang nama sebenarnya kalau tak silap aku ialah Isma Halil bin Hamzah, berasal dari sepang selangor berketurunan Jawa adalah antara DJ yang disegani di Malaysia. Beliau mempunyai pengikutnya sendiri yang sentiasa menyokong beliau sehingga satu demi satu kejayaan dicapai antaranya, melahirkan album solo, membuka kelab peminat my friend dan membuka stesen radio online.

Aku taklah tahu tentang Abang Isma Halil secara detail, berjumpa pun sekadar tengok dari jauh. Apa yang akan aku tuliskan di sini sekadar info yang aku tahu sepanjang aku mengikuti beliau dari radio muzik dulu.

Aku start mendengar Isma Halil masa form three, tahun 1997. Waktu itu beliau di Radio Muzik (Sekarang Muzik FM) bermula pukul 12 malam. Dengan muzik background lagu instrumental ‘XPDC – Bahalol’ dan kemudiannya bila pukul 1 ke atas ditukar kepada background muzik sentimental ‘Cromok – Another You’. Aku masih ingat lagi waktu mula-mula sekali aku dengar Isma Halil Hamzah diperkenalkan oleh kawan sekelas katanya pukul 12 ke atas radio muzik pasang lagu metal non-stop. Kebetulan pada masa tu aku kena duduk asrama untuk program pelajar harapan PMR (Ha ha macam bagus je). Malam tu kawan aku yang bawak walkman bukak radio muzik layan Isma Halil ramai-ramai. Lagu yang ditunggu-tunggu ‘Dream – Syaitan Ketawa Bayi Menangis’, tak diputarkan malam tu tapi tetap puas hati layan lagu metal sampai pagi.

Habis je program kat asrama, aku terus je cari batteri AA 6 biji untuk pasang kat radio. Habis batteri lampu suluh ayah aku aku rembat, gara-gara nak seludup radio masuk dalam bilik sebab takde walkman & dalam bilik aku takde power point. Rumah kampung. Malam tu radio besar tu jadi bantal peluk aku, dengar guna earphone. Yang buat aku tertarik untuk terus mendengar Isma Halil ialah bukan sahaja muzik yang diputarkan kena dengan jiwa aku malah celoteh dan juga perbualan telefon Isma Halil dengan pendengar pun menarik. Sampai aku sanggup mendengar sampai pukul 6 pagi. Kalau tak silap aku masa tu Isma Halil keudara hanya pada malam weekend, Sabtu dan Ahad. Antara lagu yang kerap diputarkan pada masa tu ‘Rahim Maarof – Gigit’, ‘Peace – Fikir-fikir’ dan lagu-lagu XPDC.

Kemudian pada tahun yang aku tak pasti, tiba-tiba Isma Halil lenyap dari Radio Muzik. Masa tu rasa boring sangat bila malam weekend sebab tak ada hiburan yang kena dengan jiwa. Sedih pun ada jugak sebab aku ingat lepas tu dah takkan dengar Isma Halil kat radio lagi. Tapi tak lama lepas tu Isma Halil tiba-tiba muncul kembali di station RFM dan masih lagi dengan konsep metal. Aku ingat lagi tagline anak Isma Halil pada masa tu ‘Nadia suka dengar RFM, Orait…’ dengan suara comelnya.

Masa di RFM slot Isma Halil masih lagi sama isitu dari 12 malam hingga 6 pagi. Pukul 12 malam hingga pukul 1 pagi beliau akan memutarkan lagu-lagu rancak, pukul 1 hingga 3 pagi biasanya dibuka kepada pemanggil dan biasanya bertema. Contohnya pada waktu itu panggilan dibuka kepada perempuan sahaja atau pada pemandu yang sendang memandu sahaja atau pada yang berumur 40 tahun ke atas sahaja. Memang kelakar bila ada yang nak bercakap sangat sampai menyamar jadi pompuan, buat suara macam pompuan. Yang sedang memandu biasanya Isma Halil akan suruh pemanggil bunyikan Hon. Adakalanya ada juga yang tak puas hati dan mencarut-carut bila keudara, sampai satu malam tu aku masih ingat Isma Halil terpaksa tapis dulu pemanggil sebelum membenarkan mereka keudara.

Semasa di RFM jugalah segment cerita seram sering diadakan. Dulu masa di radio muzik pun ada tetapi jarang sekali. Kalau time cerita seram tu memang seram abis, aku dengar sambil berselubung takut ternampak yang bukan bukan pulak masa cerita seram tu. Topik setiap malam adalah berbeza, adakalanya cerita seram, adakalanya cerita benar dan sebagainya. Pada zaman ini juga XPDC sedang top dan ia menjadi lagu wajib diputarkan oleh abang isma setiap malam. Abang Isma juga merupakan peminat nombor satu XPDC sehingga diberi penghormatan menjadi hos konsert raksasa XPDC di stadium negara pada tahun 1998.

Ada satu kes dimana abang Isma bawak kawan-kawan masuk konti semasa hari jadi beliau menyebabkan beliau ditegur oleh pihak pengurusan RFM kerana DJ dilarang membawa orang luar yang bukan jemputan masuk ke konti. Tak lama lepas tu Abang Isma pun dah tak ada kat RFM, boring balik lah. Dan tak lama lepas tu RFM pun dah tak ada.

Bila aku masuk matrikulasi pada tahun 2000 aku dapat tahu abang Isma berada di THR. Cuma pada masa tu aku tak dapat nak dengar sangat sebab aku tak ada walkman atau radio. Cuma sesekali aku pinjam walkman roomate aku untuk dengar Isma Halil Hamzah di THR Gegar!!! He he. Tapi bila cuti semester aku kembali macam dulu, seludup radio masuk bilik. Abang Isma kekal di THR sehingga tahun 2002 aku masuk Universiti.

Semasa di Universiti aku jumpa kawan kawan yang sama kepala layan Isma Halil Hamzah. Cuma di THR aku dapat rasakan lagu-lagu yang diputarkan tak serancak dulu. Banyak lagu-lagu sentimental, sampai aku rasa dengar panggilan dari pendengar lagi best dari dengar lagu yang diputarkan. Tak lama lepas tu aku pun jarang dah mendengar Isma Halil Hamzah, mungkin fokus pada study. Abang Isma tak pernah mengganggap pendengarnya sebagai peminat, tetapi mengganggap sebagai kawan. Disebabkan itulah beliau menubuhkan kelab ‘My Friend’ untuk mengumpulkan kawan-kawan yang selalu mendengarnya dan melakukan aktiviti bersama-sama seperti konvoi, jungle tracking dan sebagainya. Semuanya untuk merapatkan silaturahim sesama insan.

Pada waktu ini jugalah lagu-lagu Kashmir Stone seperti 'Malaysia Makkel' dan juga peribahasa merapu diperkenalkan dan menjadi popular dikalangan pendengar Isma Halil Hamzah.

Disebabkan jarang mendengar Isma Halil, kemudiannya aku pun tak pasti apa yang berlaku. Dengan tiba tiba pada tahun 2012 kawan aku yang juga peminat Isma Halil Hamzah memberitahu Isma Halil kini di online radio ‘Bapakku.fm’. Aku sempat mendengar beberapa kali tapi disebabkan dah tua-tua ni tak larat dah nak tidur lewat tambahan pulak besok kena bangun awal pagi untuk pergi kerja aku pun tak berapa mendengar. Kisah seram diadakan pada setiap malam Jumaat oleh Isma Halil Hamzah, aku pernah cuba mendengar sekali tapi disebabkan terlalu seram aku pun tutup laptop. Background muzik dah seram dah.


Tentang Isma Halil sendiri tak banyak yang aku tahu. Yang aku tahu belia ada dua orang nak perempuan, Nadia dan Sofea. Pernah bercerai dan kahwin kembali (Aku pernah baca kat paper). Itu sajalah…