Friday, September 16, 2011

M.A.Y

Satu lagi kumpulan Rock daripada Perak iaitu kumpulan MAY yang berasal dari Manjoi, Perak sekampung dengan kumpulan SYJ. Terdiri daripada Mustaffa (Mus), Nasir (Abu), Mokhtar (Yus) dan Sharip (Man) menubuhkan kumpulan muzik rock keras diberi nama MAY iaitu gabungan daripada nickname mereka.Menariknya kumpulan ni tak pernah bertukar pemain muzik, hanya penyanyi bertukar beberapa kali.

MAY mula dikenali setelah menjuarai pertandingan Juara-Juara Rock pada tahun 1986 mengatasi kumpulan rock lain yang juga menyertai pertandingan tersebut seperti Scandals, Burnmark, Metalian dan D'Febians. Dalam pertandingan itu jugak Abu dinobatkan sebagai gitarist terbaik.
Selepas pertandingan mereka tampil dalam album kompilasi pertama ala-ala 'battle of the band' diberi nama 'juara juara rock' (JJR) pada awal tahun 1987. May membawa 6 buah lagu dalam album tersebut iaitu Pemuzik Muda, Derita Bangsa, Gadis Misteri,Kembalilah Semula, Bayangan Hidup dan Sketsa Sebuah Cinta. Kejayaan album JJR menyebabkan terhasilnya album JJR2 pada pertengahan tahun 1987 dan JJR3 pada hujung tahun 1987.

Pada tahun berikutnya MAY tampil dengan album pertama mereka berjudul 'Dilema' dia bawah syarikat rakaman WARNADA. Antara lagu hits dalam album tersebut ialah 'Ku Dalam Dilema', 'Sketsa Sebuah Cinta' dan 'Tiada Lagi Engkau'.

Album kedua MAY adalah album mereka yang paling berjaya sekali sehingga dianugerahkan double award platinum. Majoriti lagu dalam album ini merupakan lagu rancak, hanya tiga sahaja lagu slow rock iaitu lagu 'sendiri', 'cintamu mekar dihati' dan 'cintaku sewangi kasihku'. Aku percaya ramai yang biasa dengar lagu ni, sebab lagu ni memang top tahap gaban masa tu.

walaupun begitu, dalam banyak-banyak album MAY, album yang paling aku suka ialah album ke-3 diorang iaitu album 'Rahsia'. Antara lagu best dalam album 'Rahsia' ialah 'Rahsia Kota', 'Batu Api', 'Pahlawan mimpi' dan 'Black Area'. Lagu slow rock yang meletup dalam album ni ialah 'Gadis Bertudung Putih' ciptaan Nasha Kevin. Terdapat empat lagu slow rock dalam album ini iaitu 'Gadis Bertudung Putih', 'Terukir Janji','Diari Cinta Pertama' dan 'Pasrah Impian Siksa'. Kalau diperhatikan betul betul keempat-empat lagu ni macam bersambung dari pertemuan ke perpisahan dan kembali bercinta. Album 'Rahsia' ini dikeluarkan pada tahun 1990 dan mendapat sambutan yang sangat baik menjadikan MAY antara kumpulan rock yang tak asing lagi di Malaysia.

Pada tahun 1990 jugaMAY memperkenalkan anak didik mereka iaitu kumpulan Hidayu yang dianggotai oleh Tajul yang kini penynyi kumpulan FTG. Mereka keluar dengan sebuah album iaitu 'Perjanjian' tapi tak seperti guru mereka kumpulan ini kurang mendapat sambutan dan berpecah.

Album ke-4 MAY keluar pada tahun 1991 berjudul 'Strategi' tapi kali ini bersama syarikat rakaman Antares Muzik di bawah label Warna Rekod kerana terdapat sedikit konflik antara anggota kumpulan MAY dengan syarikat rakaman lama iaitu Warnada. Malangnya 3 bulan kemudian Antares Muzik diisytiharkan muflis dan ini menjejaskan jualan album ke-4 mereka. Perbezaan syarikat rakaman dan kemuflisan syarikat rakaman ini telah menyebab album 'Strategi' kurang diketahui umum dan aku percaya ramai yang tak pernah dengar lagu-lagu dalam album ini seperti 'Singa Taring Palsu', 'Duri', 'Raja Jiwa' dan 'Strategi'. Lagu Slow Rock pun boleh tahan sedap seperti 'Abadi', 'Empat Sudut Berdiri' dan 'Sendiri Untuk Ke Mana'. Album ini diterbitkan oleh MAY & JS Kevin dan kebanyakan lagu dalam album ini dicipta oleh JS Kevin & MAY.

Kesan daripada album ke-4 yang tidak begitu menjadi mencetuskan pertelingkahan antara Mus dan anggota MAY yang mana Mus masih ingin kembali ke Warnada manakala anggota yang lain enggan. Ini menyebabkan Mus bertindak keluar dari kumpulam MAY dan menubuhkan kumpulan sendiri iaitu kumpulan Strangers.

Kumpulan MAY pula meneruskan perjuangan mereka dengan penyanyi baru iaitu J Yantzen dari kumpulan Rusty Blade dan muncul dengan album ke-5 pada tahun 1992 berjudul Ziet Geist. Album ini diterbitkan di bawah syarikat rakaman Suria Rekod. Antara lagu menarik dalam album ini ialah 'Meniti Suratan', 'Resah' dan 'Renda'. 'Renda' adalah lagu pertama ciptaan M nasir untuk kumpulan MAY. Satu lagi kelainan yang ditampilkan oleh kumpulan MAY dalam album ke-5 ini ialah terdapat empat lagu bahasa inggeris iaitu 'Obsession', 'Vision of Emotion', 'Can't Stop MAY from Rock n Roll' dan 'Atomic War'. Kalau tak silap aku ada naik turun mahkamah jugak isu nama Ziet Geist ni tapi aku lupa la ceritanya. Album ni mendapat sambutan yang baik walaupun tak sebaik album MAY yang sebelum ni.

Tahun 1993 MAY berlakon dalam filem 'Penyu' arahan Z. Lokman. Pada tahun 1994 Album ke-6 MAY dikeluarkan berjudul 'Wira Cyborg'. Seperti Ziet Geist album ini juga memuatkan dua lagu inggeris iaitu 'Exorcism' dan 'Steel Warrior' Antara lagu hits dalam album ini ialah 'Suci', 'Madu Beracun', 'Kau ingat kau siapa' dan 'Wira Cyborg'. seperti album yang lain album ini tetap heavy dan mantap.

Pada tahun 1995 Yantzen keluar dengan album solo berjudul 'Impian' dan menampilkan konsep muzik yang berlainan dengan MAY. Pada tahun 1995 juga MAY sekali lagi beralih syarikat rakaman kali ini dengan BMG rekod. Kumpulan MAY kemudiannya keluar dengan album berjudul Layar menampilkan beberapa lagu baru dan juga beberapa lagu yang dinyanyikan semula oleh Yantzen.

Pada Mei 1995 MAY sekali lagi tampil dengan album baru berjudul 'Ideologi' di bawah syarikat rakaman BMG. Antara lagu popular dalam album ini 'Cuma-Cuma', ''Janji', 'Ikhlas' dan 'Cinta Tersia'. terdapat dua lagu inggeris juga dimuatkan dalam album ini iaitu 'Genocides', dan 'Lets Get Real'. MAY kemudian dikejutkan dengan isu copyright logo mereka kerana mereka masih lagi menggunakan logo lama mereka sewaktu bersama suria rekod menyebabkan mereka terpaksa mengubah logo kepada logo baru.

Album Ideologi adalah album terakhir kumpulan MAY bersama Yantzen. Pada tahun 1997 MAY muncul kembali bersama vokalis baru iaitu Oney dari kumpulan Lipanbara. Konsep kumpulan MAY masih maintain seperti dulu rock keras. Mereka berjaya mengeluarkan sebuah lagi album berjudul Penaklukan. Pada masa ni lagu 'Jemu' menjadi siulan ramai pendengar. penjualan album juga agak baik. Antara lagu popular dalam album ini ialah Lagu 'Jemu', 'Beradu terasing', 'Taklukan' dan 'Penunggang Qada & Qadar'.

Tak lama kemudian pada tahun 1998 trend memetalkan lagu 60an, 70an, dangdut dan lain lain genre lagu semuanya dimetalkan menjadi tarikan pendengar. Ini mengheret MAY untuk turut terjebak menghasilkan album metal lagu lagu 60an dalam album mereka 'Keras'. Antara lagu yang dimetalkan ialah 'Hoi Hoi ya hoi', 'Bunyi Gitar', 'Gila judi', 'Joget Gembira', 'Selamat Tinggal Pujaan' dan beberapa lagu lagi. Album ini juga turut menampilkan dua lagu baru kumpulan MAY iaitu 'Kelibat Siapa' dan 'Bergegar Segunung Rindu'. Lagu 'Bergegar Segunung Rindu' berjaya mencuri perhatian ramai muda mudi terutama kaki jamming keranan rentaknya yang simple dan sedap didengar.

Selepas itu MAY seolah oleh lenyap dari industri muzik. Mus bekas penyanyi MAY yang pada masa tersebut menganggotai kumpulan Wings juga turut lenyap dari mempromosikan album kumpulan Wings 'Mr Barbarik'. Dengar khabarnya Mus menyertai Ayah Pin. Namun pada tahun 2003 MAY muncul kembali dengan menampilkan vokalis lama mereka iaitu Mus. Mereka keluar dengan album baru berjudul 'Sinar'. Album ini mendapat sambutan yang menggalakkan memandangkan kurangnya album rock baru di pasaran. Selepas itu MAY muncul lagi dengan beberapa album tetapi kebanyakannya adalah nyanyian semula lagu lagu lama mereka, tiada album baru dengan 100% lagu baru sehingga sekarang. Album terbaru kumpulan MAY ialah 'MAY 25th anniversary' menampilkan lagu hits lama mereka.

MAY - Rahsia

4 comments:

soooooour said...

May ni banyak sangat lagu..bnyk lagu lg yg aq x biasa dengar....

Sembrol @Ryusgnal said...

Yup banyak sangat. aku pun x abes dengar lagi lagu diorang.

rasta said...

Teriingat rasta masa tu rambut sampai pinggang gi keje...hari hari kene ikat,,,bg kemas.......

..

Muhamad Asri said...

jangan risau.nantikan kedatangan konsert may ke 35 tahun. Saya akan kembalikan kenangan lama anda semua.